Tahniah diucapkan kepada semua yang telah berjaya mendapat tawaran kerja dan kelak akan mula bekerja tak kira dalam apa jua sektor sekalipun. Anda sudah melakukan yang terbaik. Selepas mendapat tawaran kerja pertama, anda perlu pastikan bahawa majikan anda melakukan dua perkara iaitu mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) setiap bulan.

KWSP dan PERKESO
Apabila anda bekerja buat pertama kali, adalah menjadi tanggungjawab majikan untuk mendaftarkan anda sebagai ahli KWSP. Anda perlu memastikan semua butiran peribadi adalah tepat dan benar selain menurunkan cap ibu jari kanan dan kiri anda di atas borang KWSP. Anda dianggap telah berdaftar dengan agensi berkenaan sebaik saja diberikan nombor keahlian.
Sebagai ahli KWSP, anda berpeluang untuk mendapat pelbagai manfaat selain simpanan terjamin yang akan diperoleh pada hari persaraan kelak. Ini termasuk dividen tahunan, pelepasan cukai, faedah hilang keupayaan dan faedah kematian.
Majikan yang mempunyai sekurang-kurangnya seorang pekerja dikehendaki mendaftar dan membayar caruman setiap bulan kepada PERKESO. Perlindungan itu hanya untuk pekerja warganegara Malaysia dan pemastautin tetap.

Semua pekerja yang layak perlu didaftar dan dicarumkan dengan PERKESO tanpa mengira status perkhidmatannya sama ada sementara, sambilan, percubaan, kontrak atau disahkan dalam jawatan.
Bagaimanapun, kategori pekerja yang dikecualikan daripada liputan PERKESO ialah kakitangan kerajaan, pekerja khidmat rumah, bekerja sendiri, pekerja asing dan tuan punya serta pasangan kepada syarikat persendirian atau perkongsian.
Tanggungjawab Majikan Membuat Caruman KWSP dan Perkeso Kepada Pekerja
Tertakluk kepada peruntukan Seksyen 52, tiap-tiap pekerja dan majikan kepada seseorang yang merupakan seorang pekerja mengikut pengertian Akta ini hendaklah bertanggungjawab membayar caruman KWSP bulanan berkenaan dengan amaun upah bagi bulan itu pada kadar yang masing-masingnya dinyatakan dalam Jadual Ketiga.
Sebagai majikan, sebahagian daripada tanggungjawab anda adalah untuk membuat bayaran caruman KWSP bagi pekerja anda, di bawah kontrak perkhidmatan atau perantisan. Anda perlu memastikan caruman bulanan mereka dipotong dengan betul daripada gaji bulanan dan dibayar kepada KWSP. Akses secara dalam talian (online) memudahkan lagi bayaran caruman KWSP.

Semua pekerja yang bertaraf warganegara Malaysia dan pemastautin tetap yang layak adalah wajib didaftarkan. Semua pekerja yang diambil bekerja di bawah suatu kontrak perkhidmatan atau kontrak perantisan di sektor swasta.
Manakala bagi pekerja kontrak atau sementara bagi kakitangan Kerajaan Persekutuan atau Negeri serta Badan Berkanun Persekutuan atau Negeri hendaklah didaftar dan dicarumkan dengan PERKESO. Kadar caruman maksimum adalah berdasarkan had siling gaji yang diinsuranskan sebanyak RM5,000.00 sebulan.
Walau bagaimanapun, bagi suami atau isteri yang merupakan majikan utama, pindaan telah dilaksanakan untuk tidak mengecualikan pasangan dalam liputan AKSP 1969 ini bermula pada 1 Julai 2018 berdasarkan kepada Perintah Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan Jadual Pertama) 2018 dalam Warta Kerajaan Persekutuan (P.U. (A) 144/2018). Ini bermakna, pasangan kepada pemilik syarikat boleh didaftarkan sebagai pekerja.

Jika anda dapati majikan tidak buat bayaran caruman KWSP, anda boleh failkan aduan terus ke kaunter KWSP berdekatan untuk mendapatkan semula jumlah caruman yang sepatutnya dibuat. Pekerja juga boleh failkan aduan secara online di laman web KWSP.
Mohon bawa bersama dokumen berikut untuk berurusan di kaunter KWSP:
- Borang KWSP 1879 yang telah dilengkapkan
- Surat tawaran kerja
- Slip-slip gaji yang menunjukkan potongan caruman KWSP
- Salinan MyKad

Kegagalan majikan dalam membuat caruman kepada KWSP bukan saja boleh didakwa, malah akan dikenakan penalti seperti:
- Penjara tidak lebih 3 tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya, jika majikan gagal daftar dengan KWSP sebagai majikan dalam masa 7 hari selepas ambil pekerja.
- Penjara tidak lebih 3 tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya, jika majikan gagal bayar caruman pada atau sebelum 15 haribulan.
- Penjara tidak lebih 3 tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya, jika majikan beri penyataan palsu secara lisan atau bertulis.

- Penjara tidak lebih 6 tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya, jika majikan potong caruman syer pekerja dan gagal bayar kepada KWSP.
- Penjara tidak lebih 6 tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya, jika majikan cuba memotong caruman syer majikan daripada gaji pekerja.
- Penjara tidak lebih 6 bulan atau denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya, jika majikan gagal maklum kepada KWSP dalam tempoh 30 hari dari tarikh tiada pekerja.
- Penjara tidak lebih 6 bulan atau denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya, jika majikan gagal sedia dan beri slip gaji kepada pekerja.

KWSP harus mengemukakan nama pengarah syarikat kepada Jabatan imigresen untuk menghalang mereka daripada meninggalkan negara sebelum menjelaskan tunggakan caruman KWSP sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 39 Akta KWSP 1991.
Ahli KWSP juga dinasihatkan supaya sentiasa menyemak akaun KWSP bagi memastikan caruman KWSP dibuat dan sekiranya terdapat sebarang keraguan dalam akaun itu mereka perlu melaporkan segera kepada mana-mana pejabat KWSP terdekat.
Pemilik syarikat atau majikan boleh mendapatkan khidmat yang di tawarkan oleh Starz Excellence bagi membantu mengurus dan menjalankan setiap aspek perniagaan anda dari mana-mana sahaja anda berada tanpa mengira masa. Starz Excellence menawarkan pakej yang sangat berpatutan untuk membantu anda mengembangkan perniagaan anda dengan cara yang tepat, mudah, jimat dan sudah semestinya ianya amat berbaloi!
