Apakah Itu Cukai Pendapatan?
Cukai pendapatan korporat di Malaysia ialah cukai langsung yang dibayar kepada kerajaan yang dikenakan ke atas syarikat pemastautin dan bukan pemastautin yang menerima pendapatan dari Malaysia. Kadar cukai pendapatan korporat berbeza-beza berdasarkan jenis syarikat.
Cukai Korporat dikenakan ke atas semua perniagaan yang berdaftar di Malaysia. Ianya tertakluk kepada semua keuntungan perniagaan yang dijalankan dalam Malaysia. Mengikut undang-undang, pembayar cukai mesti memfailkan penyata cukai pendapatan setiap tahun untuk menentukan kewajipan cukai mereka.
Membayar cukai ialah tanggungjawab rakyat sesebuah negara. Cukai yang dikenakan atas pendapatan mahupun perbelanjaan kita, sebenarnya merupakan satu instrumen ekonomi yang amat penting bagi negara untuk memperoleh hasil atau pendapatan.
Cukai pendapatan adalah sumber pendapatan bagi kerajaan. Hasil kutipan cukai digunakan untuk membiayai perkhidmatan awam, membayar keperluan kerajaan dan menyediakan perkidmatan untuk rakyat. Selain kerajaan persekutuan, banyak negeri dan bidang kuasa tempatan juga mengenakan cukai pendapatan.
- Cukai pendapatan peribadi ialah sejenis cukai pendapatan yang dikenakan ke atas gaji dan jenis pendapatan lain individu.
- Cukai pendapatan perniagaan dikenakan kepada syarikat, perkongsian, perniagaan kecil dan yang bekerja sendiri.
Secara amnya, kutipan cukai adalah bagi tujuan berikut:
- Cukai digunakan untuk membiayai perbelanjaan pentadbiran negara termasuk projek-projek pembangunan awam seperti sekolah, universiti, hospital, klinik kesihatan, jalan raya, lapangan terbang, infrastruktur awam dan banyak lagi.
- Cukai juga digunakan oleh kerajaan untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi negara, terutamanya jika berlaku kelembapan ekonomi dengan menyuntik dana kewangan ke dalam ekonomi negara.
- Cukai juga merupakan alat pengagihan semula pendapatan dan kekayaan secara tidak langsung kepada mereka yang memerlukannya.
- Cukai juga digunakan untuk meringankan beban sara hidup rakyat melalui bantuan subsidi ke atas barangan keperluan seperti minyak dan bahan makanan asas.
Impak Pembayaran Cukai
Secara ringkasnya, cukai merupakan kunci kepada pentadbiran negara yang berkesan, dan sebagai rakyat, kita harus menunaikan tanggungjawab ini dengan ikhlas. Lagi pula, kita perlu faham bahawa bayaran cukai sama ada daripada orang perseorangan mahupun peniaga seperti Pengusaha Kecil dan Sederhana (PKS) akan kembali dan dinikmati semula oleh rakyat.
Selain itu, terutamanya sebagai pemilik PKS, membayar cukai perniagaan ada kelebihannya, iaitu:
1. Memberi gambaran yang baik kepada pihak bank. Jika anda merupakan seorang peniaga yang bijak, anda akan bayar cukai dengan jumlah yang sepatutnya kerana ini akan membuka peluang cerah untuk pembiayaan institusi perbankan.
2. Pembayaran cukai mengikut kadar dan masa yang sepatutnya mencerminkan bahawa anda seorang yang berdisiplin dalam melaksanakan tanggungjawab anda. Sikap ini membuka peluang yang cerah untuk memperoleh pembiayaan/pinjaman daripada institusi kewangan kerana ia menunjukkan anda mampu untuk melaksanakan tanggungjawab dengan baik sebagai peminjam.
3. Cukai Import Untuk Galakkan Rakyat Membeli Barangan Tempatan. Apabila barangan import dikenakan cukai, maka keuntungan akan diperolehi ke atas pedagang tempatan, sekaligus akan menggalakan orang ramai memilih barang tempatan yang murah. Sistem ini digunapakai di banyak negara dalam usaha menjaga kepentingan rakyat tempatan.
4. Nikmat Keselesaan. Bayaran cukai yang dikutip oleh kerajaan akan dikembalikan kepada dua tanggungjawab utama kerajaan iaitu pendidikan dan kesihatan. Dalam sudut kesihatan, perkhidmatan perubatan di Malaysia pada hari ini semakin baik berbanding beberapa negara lain.
Berapakah Kadar Cukai Korporat di Malaysia?
Bermula tahun 2020, syarikat permastautin yang menjalankan perniagaan di Malaysia dikenakan 24% kadar cukai korporat setahun. Jumlah ini adalah lebih rendah dari tahun-tahun sebelumnya. Perniagaan Kecil Sederhana (PKS) pula dikenakan cukai korporat yang berbeza dari syarikat permastautin. Syarikat yang menjalankan perniagaan dengan modal berbayar kurang dari RM2.5 juta dikategorikan sebagai PKS.
Penilaian kadar cukai dilakukan pada setiap penghujung tahun perniagaan . Sekiranya pendapatan bercukai tahun pertama PKS tersebut adalah RM500,000.00, syarikat tersebut akan dikenakan kadar cukai 18%. Sekiranya pendapatan mencecah had pendapatan bercukai, kadar cukai yang dikenakan adalah 24%. Bagi syarikat non-resident pula, cukai yang dikenakan adalah 24% dari kadar keuntungan syarikat.
Berapakah jumlah cukai syarikat yang saya perlu bayar ?
Kebiasaannya, kos yang dibenarkan dikecualikan daripada pendapatan bercukai. Kos ini dianggap sebagai kos operasi syarikat. Keuntungan yang dikenakan cukai perlu dirujuk pada Akta Cukai Pendapatan tahun 1967.
Keuntungan yang dikenakan cukai dan tidak dikenakan cukai, serta pendapatan terkecuali, tertakluk kepada akta ini . Ia juga mengambil kira elaun pelaburan semula atau modal, serta perbelanjaan yang dibawa ke hadapan dan tahun semasa. Semua kos ini diambil kira sewaktu pengiraan cukai korporat.
Konsisten Membayar Cukai Pendapatan Korporat
Syarikat mempunyai pilihan dalam memastikan jumlah cukai yang dibayar adalah tepat berdasarkan keuntungan yang sebenar bagi tahun semasa. Sekiranya syarikat menyasarkan cukai yang sepatutnya bagi tahun semasa, syarikat perlu memantau perbelanjaan dan pendapatan yang dikenakan cukai. Perkara ini hanya boleh dilakukan sekiranya syarikat sentiasa memantau akaun, corak aliran pendapatan dan perbelanjaan syarikat.
Nak tahu lebih lanjut mengenai perisian perakaunan yang efisyen untuk kegunaan syarikat anda? Hubungi kami di Starz Excellence sekarang!