Gaji Dibayar Lambat?: Lakukan 3 Perkara Ini

‘Dah 10 haribulan ini, mana gaji aku huaaa’

Suasana tempat kerja dah cun, kawan-kawan di syarikat juga baik, tapi semua itu tiada guna jika gaji anda masih lewat dibayar. Anda masih ada bil-bil yang perlu diselesaikan, mulut yang menunggu makanan disuap, nafkah anak-anak dan isteri bagi mereka yang sudah berkeluarga, komitmen lain lagi. Tak gitu?

Hm, apa nak buat ya sekiranya majikan di syarikat anda bayar gaji lewat?

Cakna Tentang Akta

Perkara utama yang perlu anda ambil tahu adalah tentang Akta Kerja 1955 di bawah Seksyen 19 (1) yang memperuntukkan gaji sepatutnya dibayar dalam tempoh tujuh hari selepas hari terakhir tempoh gaji, kebiasaannya dalam sebulan. Jadi, jika anda menerima gaji lewat dari tempoh yang sepatutnya, anda boleh lakukan tiga perkara ini:

  1. Semak di dalam surat tawaran kerja anda tempoh dan tarikh untuk anda menerima bayaran gaji.
  2. Sekiranya majikan anda memang kerap melewatkan pembayaran gaji, berbincang dahulu supaya ada persefahaman sebelum mengambil tindakan undang-undang.
  3. Kalau dah berbincang tetapi majikan anda masih berbasa-basi, anda boleh ambil langkah perundangan seperti yang dinyatakan dalam gambar dibawah:
  • Failkan aduan anda melalui surat rasmi ke emel [email protected] atau ke Jabatan Tenaga Kerja tempatan yang terdekat. Anda juga boleh menghubungi mereka terlebih dahulu di 03-8000 8000. Jangan lupa bawa sekali surat rasmi serta salinan dokumen sokongan seperti surat tawaran atau kontrak semasa anda ke sana, lebih mudah urusan anda nanti.
  • Selepas proses pertama tadi, anda akan diminta untuk menunggu notis dari Jabatan Tenaga Kerja. Kalau anda nak tahu, mereka akan menghubungi majikan anda untuk tuntutan tersebut. Sekiranya, majikan anda setuju untuk menyelesaikan tuntutan itu, anda akan diminta untuk menarik balik tuntutan yang dibuat.
  • Tetapi, sekiranya sebaliknya, Pegawai Buruh memproses kes anda dan dibawa ke Mahkamah Buruh untuk mendengar semula kes yang akan dihadiri oleh kedua-dua belah pihak; anda dan juga majikan.
  • Semasa pendengaran, anda boleh mewakilkan diri anda sendiri, atau diwakili oleh kesatuan kerja, seorang peguam atau pegawai dari Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).
  • Pegawai Penguasa akan memerintahkan secara berlisan atau bertulis yang menyatakan sekiranya ada yang tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut diminta untuk membuat rayuan kepada Mahkamah Tinggi dalam masa 14 hari bekerja dari tarikh keputusan dibuat.
  • Sekiranya defendan yakni majikan anda enggan mematuhi perintah dan tidak membuat sebarang rayuan, Pejabat Buruh akan memerintahkan di Mahkamah Sesyen (Sivil) untuk mendapatkan semula wang yang dituntut tersebut.

Lecehkan? Tetapi sekiranya anda rasa berbaloi untuk lakukan semua prosedur, jangan takut untuk menuntut hak anda. Nak lagi lebih kepastian, hubungi di Starz Excellence untuk penjelasan yang lebih mendalam sekiranya kes ini berlaku kepada anda.

Leave the first comment