Kepentingan Caruman KWSP Dan Perkeso

Apa Itu KWSP?

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan sebuah institusi keselamatan sosial yang ditubuhkan di bawah Undang-Undang Malaysia, Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991 (Akta 452) yang menyediakan faedah persaraan kepada ahlinya melalui pengurusan simpanan mereka secara cekap dan boleh dipercayai.

KWSP juga menyediakan sistem yang efisyen dan mudah bagi memastikan para majikan memenuhi tanggungjawab undang-undang serta kewajipan moral mereka untuk mencarum kepada KWSP bagi pihak pekerja mereka.

Selain itu juga, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah dana persaraan utama di Malaysia yang membantu ahli mencapai persaraan yang selesa. KWSP mempunyai visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang baik dan melindungi simpanan ahli. KWSP telah berkembang dari sebuah organisasi transaksi ke sebuah organisasi pengurusan dana professional dengan tumpuan terhadap jaminan persaraan.

Ada segelintir dari kita yang sering memandang remeh tentang jumlah wang yang akan diperlukan untuk menampung hari-hari persaraan mereka. Untungnya yang bekerja di Malaysia, kita mempunyai KWSP yang menjamin simpanan daripada gaji bersih yang diterima.

Apa Itu PERKESO?

Jika anda meneliti slip gaji anda pada setiap bulan, anda pasti akan dapat melihat bahawa sebahagian dari gaji kasar anda telah diperuntukkan untuk potongan PERKESO. Sama seperti potongan KWSP, majikan anda juga wajib untuk membuat peruntukan PERKESO untuk pihak anda.

Pertubuhan Kebajikan Sosial merupakan sebuah agensi kerajaan yang ditubuhkan untuk mentadbir dan melaksanakan skim keselamatan sosial dibawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969. Selain daripada itu, pertubuhan ini juga menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja dan tanggungan mereka.

Ia merupakan satu kesalahan jika majikan tidak membuat potongan PERKESO untuk pekerja mereka. Untuk semak samada majikan anda melaksanakan tanggungjawab tersebut, sila rujuk laman web eSemak atau di cawangan PERKESO. Kadar caruman PERKESO akan bergantung kepada jumlah gaji anda.

Kepentingan Caruman KWSP

1. Simpanan yang kukuh

Di Malaysia semua Syarikat berdaftar diwajibkan oleh undang-undang untuk menyumbang kepada akaun KWSP pekerja, jadi jika anda merasakan bahawa duit anda banyak dipotong untuk KWSP, sebenarnya anda menyimpan hanya sebanyak 11% (atau 8%) dari gaji anda. Malahan anda juga mendapat tambahan sebanyak 13% (atau 12%) daripada majikan anda.

Ini bermakna KWSP bukan hanya bergantung pada simpanan gaji anda sahaja, tetapi juga disumbangkan oleh majikan anda, ia sudah semestinya dapat membantu meningkatkan jumlah simpanan pencen anda.

2. Dividen Tahunan

Dividen yang dijamin oleh kerajaan dan berada pada paras yang sihat iaitu purata 5 ke 6% setahun. Walaupun kadar tersebut rendah bunyinya, perlu diingat bahawa sekitar satu dekad ini kadar tersebut berada pada paras yang sihat iaitu purata 5 ke 6% setahun. Dividen akan dikira berdasarkan baki harian secara agregat.

Kepentingan Caruman PERKESO

Antara sebab utama PERKESO amat penting ialah perlindungan yang ditawarkannya boleh dikira menyeluruh, ditambah dengan sumbangan yang diberikan jika anda terlibat dalam bencana di tempat kerja. Ini bermakna rawatan, dan juga rawatan susulan untuk kecederaan di tempat kerja bakal ditanggung PERKESO.

Sebagai contoh, jika pekerja ditimpa kecederaan kekal ataupun memerlukan rawatan fizikal, kos rawatan tersebut bakal ditanggung PERKESO. Ini termasuklah fisioterapi, pembedahan, anggota palsu dan juga alatan prostetik seperti kerusi roda atau alat bantuan pendengaran. Malah, kecederaan yang berlaku di waktu rehat (yang telah ditetapkan oleh majikan) juga akan ditanggung oleh PERKESO.

PERKESO menawarkan tiga skim kepada pekerja iaitu Skim Bencana Pekerjaan, Skim Keilatan dan Skim Bencana Kerja Pekerja Asing.

1. Skim Bencana Pekerjaan

Skim ni beri perlindungan kepada pekerja yang mengalami kecederaan semasa bekerja.

  • Faedah Perubatan
  • Faedah Hilang Upaya Sementara
  • Faedah Hilang Upaya Kekal
  • Elaun Layanan Sentiasa
  • Kemudahan Pemulihan Jasmani atau Vokasional
  • Faedah Orang Tanggungan
  • Faedah Pengurusan Mayat
  • Faedah Pendidikan

2. Skim Keilatan

Skim ni melindungi pekerja yang hilang upaya atau meninggal dunia atas sebab yang tiada kaitan dengan kerja. Secara mudahnya keilatan adalah bila pekerja uzur dan tidak mampu capai satu pertiga dari keupayaan yang dahulu lagi atau boleh jadi kekal dan tidak boleh sembuh seperti sediakala.

  • Pencen Ilat
  • Bantuan Ilat
  • Elaun Layanan Sentiasa
  • Pencen Penakat
  • Kemudahan Pemulihan Jasmani/Vokasional/Return To Work/Dialisis
  • Faedah Pengurusan Mayat
  • Faedah Pendidikan

Mungkin ada yang tidak tahu lagi bahawa, pencen penakat ni pun penting bagi yang fikir pencen akan terhenti selepas pekerja meninggal dunia. Dengan skim inilah, ahli keluarga tanggungan boleh memohon pencen diteruskan kepada mereka yang masih hidup.

3. Skim Bencana Kerja Pekerja Asing

Skim ni pula melindungi pekerja asing di Malaysia kecuali yang bekerja sebagai pembantu rumah. Caruman bagi skim ni ditetapkan pada kadar 1.25% daripada gaji bulanan dan dibayar setiap bulan oleh majikan. Faedah bagi skim ni adalah seperti berikut:

  • Faedah Perubatan
  • Faedah Hilang Upaya Sementara
  • Faedah Hilang Upaya Kekal
  • Faedah Orang Tanggungan
  • Faedah Pengurusan Mayat
  • Elaun Layanan Sentiasa
  • Kemudahan Pemulihan (kecuali Dialisis, Vokasional & Return To Work)

Leave the first comment