Definisi Cukai dan Rebat
Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, cukai membawa maksud bayaran yang dikenakan ke atas orang perseorangan, manakala rebat pula potongan daripada sejumlah bayaran yang perlu dibayar atau pemulangan sebahagian daripada amaun yang telah dibuat sebagai bayaran.
Cukai pendapatan ialah cukai yang dikenakan pada setiap tahun terhadap seseorang yang menerima pendapatan bersifat hasil seperti:
- Keuntungan daripada sesuatu perniagaan.
- Keuntungan daripada pengajian.
- Dividen, faedah atau diskaun.
- Sewa, royalti atau premium.
- Pencen, anuiti atau bayaran berkala lain.

Akta Cukai Pendapatan 1967 menguatkuasakan hal-ehwal pentadbiran dan kutipan cukai pendapatan ke atas orang dan pendapatan yang layak dikenakan cukai.
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) pula merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Kewangan yang bertanggungjawab memungut dan mentadbir cukai langsung negara.
Siapa Yang Dikenakan Cukai?
Seseorang individu yang mempunyai jumlah pendapatan melebihi nilai ambang yang ditetapkan, yang boleh dikenakan cukai perlu mendaftar fail cukai pendapatan. Skop pengenaan cukai seseorang individu adalah bergantung kepada taraf mastautinnya.
Individu bermastautin dikenakan cukai mengikut kadar cukai berskala serta layak menuntut potongan menurut seksyen 45A hingga seksyen 49. Manakala individu bukan pemastautin dikenakan cukai pada kadar tetap 30% dan tidak layak menikmati sebarang potongan. Sebarang punca pendapatan daripada luar Malaysia yang dibawa masuk ke Malaysia adalah dikecualikan cukai.

Bilakah Dikenakan Cukai?
Individu : Pendapatan Penggajian
Individu yang menerima pendapatan penggajian tahunan melebihi RM 34,000 dan mereka yang mempunyai Potongan Cukai Bulanan layak dikenakan cukai.
Pengiraan ambang jumlah pendapatan individu yang TIDAK DIKENAKAN CUKAI adalah mengambil kira pendapatan kasar tahunan ditolak dengan pelepasan asas individu dan rebat cukai yang layak.
Pelepasan asas yang diambil kira adalah pelepasan individu dan saudara tanggungan serta pelepasan suami atau isteri dan anak di bawah umur 18 tahun bagi individu yang telah berkahwin. Manakala tolakan rebat individu RM400 serta pasangan RM400 jika berkenaan dibenarkan sekiranya pendapatan bercukai individu tersebut tidak melebihi RM35,000.

Individu : Pendapatan Perniagaan
Perniagaan terdiri daripada:
- Milikan Tunggal atau Bekerja Sendiri. Individu yang menjalankan perniagaan secara perseorangan
- Perkongsian. Meliputi sebarang bentuk kerjasama antara dua atau lebih pihak bagi menyatukan hak, kuasa, tenaga kerja atau kemahiran dalam menjalankan perniagaan dan mewujudkan perkongsian keuntungan. Perkongsian mungkin wujud di antara :
- Individu-individu
- Dua syarikat
- Individu dan syarikat
- Individu dan pemegang amanah bagi sesuatu penyelesaian
Contoh Perniagaan :
- Perniagaan Runcit
- Perniagaan Pasar Malam , Gerai
- Perniagaan Melalui Internet (Ekonomi Digital)
- Bidang Lakonan, Nyanyian, Duta Produk, Ulasan Produk
- Komisen, Kelas Tuisyen, Penceramah
- Perniagaan Jualan Langsung, Stokis
- Bidang Penulisan, Youtuber, Blogger
- Pertanian dan Penternakan
- Pemandu Teksi, e-hailing
- Klinik, Firma Guaman atau Lain-Lain Pengamal Profesional

Apa Itu Pelepasan Cukai?
Pelepasan cukai merujuk kepada perbelanjaan yang dibenarkan oleh kerajaan untuk penolakan cukai bagi tahun taksiran berkenaan.
Ia adalah untuk meringankan beban kewangan golongan pembayar cukai. Dengan ini, cukai pendapatan yang dikenakan terhadap seseorang dapat dikurangkan. Seseorang individu dapat jimat sejumlah wang yang besar jika ia dirancang dengan betul.



Apa Itu Rebat Cukai?
Rebat cukai tidak seperti potongan cukai yang diproses melalui pendapatan bercukai anda, malah rebat cukai hanyalah pengurangan dalam jumlah cukai yang anda bayar selepas pengiraan cukai tahunan anda.


Rebat Cukai
- Tidak seperti potongan cukai yang mana ia adalah pengurangan dalam pendapatan bercukai tahunan anda, rebat cukai pula ialah pengurangan dalam jumlah cukai yang anda bayar selepas pengiraan cukai anda bagi tahun tersebut.
Rebat Zakat
- Zakat boleh ditolak melalui gaji, atau dibayar terus oleh pekerja kepada pihak berkuasa zakat atau badan amal yang berkelayakan (pelepasan cukai kemudian dituntut melalui borang TP1).
Rebat untuk Individu dengan Pendapatan Bercukai tidak melebihi RM35,000
- Rebat sebanyak RM400 tersedia untuk individu dengan pendapatan bercukai tidak melebihi RM35,000. Sekiranya pasangan tidak mempunyai pendapatan atau dinilai bersama, rebat tambahan RM400 boleh dituntut.

Rebat pada pelepasan cukai untuk menunaikan Umrah dan Ziarah ke Tanah Suci
- Rebat cukai ke atas jumlah levi berlepas yang dibayar semasa mengerjakan Umrah atau Ziarah tanah suci.
- Rebat boleh dituntut dua kali seumur hidup dan ia perlu dituntut dengan melampirkan bukti pas penerbangan atau kemasukan dan salah satu daripada yang berikut:
(a) Visa umrah yang dikeluarkan oleh kedutaan Kerajaan Arab Saudi
(b) Surat pengesahan menunaikan haji ke tempat suci dari badan keagamaan yang diiktiraf oleh Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama, Jabatan Perdana Menteri.
Rebat tidak akan diberikan berkenaan dengan levi pelepasan yang dibayar bagi tujuan menunaikan haji.

Apakah Yang Patut Dilakukan Jika Anda Layak Dikenakan Cukai?
Setiap individu yang boleh dikenakan cukai dikehendaki melaporkan kesemua pendapatan kepada LHDN
Individu tersebut adalah bertanggungjawab untuk :
- Daftar Nombor Cukai Pendapatan atau Kemaskini Maklumat
- Lapor Pendapatan Tahunan
- Bayar Cukai Pendapatan
Permohonan pendaftaran nombor rujukan cukai pendapatan boleh dilakukan di cawangan yang berhampiran ATAU secara online melalui Portal MyTax.