Lambakan pekerja asing di Malaysia telah membawa kepada kewajiban untuk majikan membayar caruman sekiranya berlaku kemalangan kepada pekerja asing tersebut semasa bekerja atau semasa waktu bekerja. Ini menunjukkan tanggungjawab dan keadilan terhadap semua pekerja sama ada warganegara mahupun warga asing seperti yang ditetapkan di bawah Bahagian 12B, Akta Kerja 1955.

Disamping itu, hak untuk pekerja asing ini juga telah dinyatakan pada: (i) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155); (ii) Akta Pasport 1966 (Akta 150); (iii) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan; (iv) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670). Pengambilan warga asing sebagai pekerja perlu dibuat permohonan dan berdaftar dengan Jabatan Imigresen Malaysia terlebih dahulu.
Skim Bencana Kerja Pekerja Asing PERKESO
Pada Mac 2020, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah mengeluarkan sebanyak 22,093 kompaun yang bernilai RM16.8 juta kepada majikan yang gagal mendaftar perniagaan dan pekerja asing di bawah skim yang disediakan. Kebanyakan majikan tersebut memberi alasan bahawa mereka tidak tahu perlu mencarum pekerja asing dibawah khidmat mereka dengan PERKESO.
Bagi mereka yang tidak tahu, caruman PERKESO ini telah diwajibkan kepada pekerja asing bermula dari 1 Januari 2019 seperti yang telah dinyatakan dibawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) yang mewajibkan hanya majikan sahaja untuk mencarum sebanyak 1.25% dari gaji bulanan dan dibayar setiap bulan. Kadar caruman tersebut boleh dirujuk di portal PERKESO pada Jenis Kedua dalam Jadual Caruman.

Ada apa-apa syarat ke sebelum mendaftar pekerja asing dibawah PERKESO?
Semestinya ada! Majikan perlu menyemak dahulu syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh PERKESO seperti di bawah:
- Pekerja asing tersebut perlu memilik pasport, pas lawatan kerja sementara (PLKS) atau pas kerja yang sah.
- Jika mereka masih baharu, mereka perlu memilik pasport dan pas khas.
Bagaimana nak daftar?
Terdapat dua cara untuk majikan mendaftar pekerja asing dibawah kelolaan mereka di bawah PERKESO:
- Pendaftaran secara atas talian di portal ASSIST PERKESO atau;
- Pendaftaran terus di kaunter PERKESO yang terdekat melalui Borang Pendaftaran Pekerja Asing/Borang Pendaftaran Pekerja Domestik.
Caruman KWSP Pun Wajib ke kepada Pekerja Asing?
Bagi caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pula adalah tidak wajib untuk majikan mencarum kepada pekerja asing di bawah khidmatnya. Tetapi, jika pekerja asing tersebut masih memilih untuk mencarum di bawah KWSP ini bertujuan memilik simpanan selepas persaraan, adalah dibolehkan. Pekerja asing tersebut perlu hadir ke kaunter KWSP yang terdekat dan mendaftar melalui Borang KWSP 3 (AHLI), Borang KWSP 16B serta membawa salinan pasport dan permit kerja yang sah.

Caruman Mereka Tanggungjawab Bersama
Sebagai majikan yang baik dan bertanggungjawab, setiap hak pekerja perlu dilaksanakan dengan penuh amanah tanpa mengira status kerana setiap pekerja berhak mendapat perlindungan dan jaminan keselamatan sewaktu melakukan tugas. Oleh sebab itu, majikan perlu menjaga hak pekerja asing ini supaya mereka tidak ditindas semasa di bawah tanggungjawab syarikat.
Nak tahu lebih lanjut mengenai hak-hak pekerja asing, jom ikuti kami di Starz Excellence!