Apakah Maksud Pelepasan Cukai?
Setiap tahun masuk sahaja bulan Mac, semua individu yang mencapai jumlah minimum pendapatan pada tahun sebelumnya perlu mengisi e-filing dan haruslah membuat kiraan bagi cukai yang perlu di jelaskan.
Pelepasan cukai ialah pengurangan sejumlah wang yang dikeluarkan pada tahun taksiran berkenaan, daripada jumlah pendapatan tahunan. Ini adalah untuk aktiviti dan keperluan tertentu yang digalakkan oleh kerajaan atau perkara yang dapat meringankan beban kewangan kita.
Pelepasan cukai dapat membantu mengurangkan cukai pendapatan yang dikenakan terhadap seseorang. Jika ia dirancang dengan betul, sejumlah besar cukai dapat dijimatkan.
Cukai korporat dikenakan ke atas setiap syarikat yang beroperasi dan memperoleh pendapatan di Malaysia. Syarikat yang dimaksudkan adalah jenis Sendirian Berhad (Sdn Bhd) dan juga Berhad.
Sebagai pemilik syarikat sendirian berhad, tanggungjawab membayar cukai sudah menjadi kewajipan. Kegagalan syarikat untuk mematuhi tanggungjawab ini bukan sahaja boleh dikenakan penalti malah boleh menyebabkan pemilik syarikat di saman oleh pihak LHDN dan boleh dikenakan denda dan penjara jika disabitkan kesalahan.
Amatlah penting untuk pemilik syarikat sendirian berhad memahami dan memanfaatkan pelepasan cukai yang ditawarkan oleh LHDN untuk mengurangkan beban cukai yang perlu dibayar.
Oleh itu, kita akan melihat jenis-jenis perbelanjaan syarikat yang boleh memenuhi syarat untuk mendapatkan pelepasan cukai. Ianya dapat mengurangkankan jumlah cukai yang perlu dibayar seterusnya meningkatkan keuntungan bersih perniagaan yang diusahakan.
Apabila anda tahu cara kurangkan cukai syarikat, maka syarikat dapat menguruskan pembayaran kepada LHDN tanpa sebarang masalah dan dapat mengelakkan daripada dikenakan sebarang tindakan undang-undang.
Antara jenis perbelanjaan yang memenuhi syarat pelepasan cukai syarikat Sdn Bhd adalah seperti berikut;
- Perbelanjaan Pemeliharaan dan Pembaikian
- Perbelanjaan Promosi dan Pemasaran
- Perbelanjaan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D)
- Perbelanjaan Latihan dan Pendidikan
- Perbelanjaan Pemberian Sumbangan
- Perbelanjaan Pengurusan dan Pentadbiran
- Perbelanjaan Perubahan Teknologi
- Perbelanjaan Inovasi Produk dan Perkhidmatan
- Perbelanjaan Keselamatan dan Kualiti
1. Perbelanjaan Pemeliharaan dan Pembaikian
Pelepasan cukai boleh diberikan bagi perbelanjaan pemeliharaan dan pembaikian yang diperlukan untuk menjalankan operasi syarikat. Ini termasuklah kos penyelenggaraan aset syarikat, pembaikian kerosakan atau peralatan yang digunakan dalam operasi harian.
Dengan manfaat pelepasan ini, bukan sahaja syarikat dapat mengurangkan beban cukai malah pada masa yang sama dapat memastikan aset syarikat berfungsi dengan baik.
2. Perbelanjaan Promosi dan Pemasaran
Sekiranya syarikat melabur di dalam aktiviti promosi dan pemasaran untuk meningkatkan jualan, ianya juga boleh memenuhi syarat untuk mendapat pelepasan cukai syarikat sendirian berhad. Perbelanjaan ini adalah seperti kos iklan, promosi, dan juga kos pengiklanan dan pemasaran secara digital.
3. Perbelanjaan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D)
Pelepasan cukai juga diberikan bagi perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan yang dilakukan untuk meningkatkan kualiti produk atau perkhidmatan perniagaan yang dijalankan. Ini termasuklah kos penyelidikan, pembangunan prototaip, pengujian dan aktiviti inovasi yang berkaitan.
Dengan manfaat pelepasan ini, syarikat bukan sahaja dapat mengurangkan cukai malah dapat mendorong aktiviti inovasi dan perkembangan produk dan perkhidmatan ke peringkat yang lebih tinggi.
4. Perbelanjaan Latihan dan Pendidikan
Perbelanjaan untuk kursus, latihan, seminar, sijil profesional atau program pendidikan yang bertujuan untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan pekerja juga boleh mendapat pelepasan cukai syarikat sendirian berhad.
5. Perbelanjaan Pemberian Sumbangan
Syarikat yang memberikan sumbangan kepada badan kebajikan, institusi pendidikan atau program sosial yang diiktiraf dapat memenuhi syarat untuk pelepasan cukai syarikat sendirian berhad. Ini termasuklah sumbangan tunai, peralatan atau sumbangan dalam bentuk lain yang bertujuan untuk membantu masyarakat.
6. Perbelanjaan Pengurusan dan Pentadbiran
Perbelanjaan pengurusan dan pentadbiran juga memenuhi syarat untuk pelepasan cukai syarikat sendirian berhad. Ini termasuk perbelanjaan seperti sewa pejabat, utiliti dan perkhidmatan professional yang berkaitan dengan pengurusan syarikat.
7. Perbelanjaan Perubahan Teknologi
Perbelanjaan yang melibatkan penggunaan teknologi dalam operasi syarikat ini termasuklah kos pembelian dan pemasangan teknologi baru, perisian pengurusan atau sistem automasi yang boleh meningkatkan kecekapan dan produktiviti syarikat.
Sebagai contoh syarikat yang menjalankan aktiviti pembuatan akan melabur dalam pembelian dan pemasangan robotik yang membolehkan mereka meningkatkan produktiviti.
8. Perbelanjaan Inovasi Produk dan Perkhidmatan
Jika syarikat melabur dalam inovasi produk atau perkhidmatan yang baru, ianya juga boleh memenuhi syarat pelepasan cukai. Ini termasuklan perbelanjaan untuk pembangunan produk baru, pengujian, atau perubahan signifikan dalam perkhidmatan yang ditawarkan.
9. Perbelanjaan Keselamatan dan Kualiti
Bagi syarikat yang melabur dalam usaha meningkatkan keselamatan dan kualiti produk atau perkhidmatan juga boleh memenuhi syarat untuk mendapat pelepasan cukai syarikat sendirian berhad. Contoh perbelanjaan ini adalah seperti pensijilan kualiti, ujian produk atau sistem pengurusan keselamatan dan kualiti.
Apakah Manfaat Berupa Barangan Yang Mendapat Pelepasan Cukai?
Manfaat berupa barangan adalah faedah yang diberikan oleh atau bagi pihak majikan anda yang tidak dapat ditukar menjadi wang. Manfaat ini biasanya merupakan sebahagian daripada pendapatan bercukai anda, kecuali manfaat yang dikecualikan cukai yang mana ia tidak akan menjadi sebahagian daripada pendapatan bercukai anda.
Sekatan Terhadap Tuntutan Pengecualian Cukai
Sekiranya pekerja mempunyai hak ke atas majikan mereka maka semua perkuisit, elaun dan faedah dalam bentuk yang diterima oleh pekerja itu akan dianggap sebahagian daripada pendapatan mereka yang boleh dikenakan cukai dan mereka tidak boleh menuntut apa-apa pengecualian cukai berkenaan dengannya.
Frasa “berhak ke atas majikan mereka” bermaksud:
- Bagi sesebuah syarikat, kuasa seseorang pekerja adalah melalui pegangan saham,pemilikan kuasa undian dalaman atau berhubung dengan itu atau atau syarikat lain yang lain, atau berdasarkan kuasa yang termaktub dalam artikel persatuan atau dokumen lain yang mengawal selia atau mana-mana syarikat lain, bahawa perniagaan syarikat-syarikat yang disebutkan pertama itu dilakukan sesuai dengan kehendak pekerja.
- Untuk perkongsian, pekerja adalah rakan kongsi majikan
- Bagi pemilik tunggal, pekerja dan majikan adalah orang yang sama.
Kenapa Perlu Bayar Cukai?
Termaktub di dalam Seksyen 2 Hasil Kerajaan Persekutuan, hasil cukai di negara ini menyumbang 73.2% dalam jumlah hasil. Jadi, tidak dapat disangkal lagi bahawa bayaran cukai amatlah penting demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat sejagat.
Hasil daripada cukai ini digunakan oleh kerajaan untuk mentadbir dan mengurus sesebuah negara dan juga bagi digunakan untuk perbelanjaan pembangunan.
Kerajaan memperuntukkan cukai yang dikutip dibelanjakan bagi tujuan keselamatan negara, rakyat, pembangunan fizikal, infrastruktur seperti jalan raya, hospital, sekolah serta pembangunan ekonomi, sosial seperti perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan kebajikan rakyat.