Apakah Itu Latihan Industri?
Latihan Industri adalah salah satu syarat wajib bagi pelajar dalam program-program tertentu di semua peringkat pengajian tinggi. Latihan industri diperkenalkan untuk memperkasa kompetensi yang diperlukan untuk meningkatkan tahap mampu kerja para graduan.

Tambahan lagi, latihan industri membina semangat dan sikap proaktif di kalangan pelajar dan seterusnya meningkatkan keyakinan untuk kelak menjadi tenaga pekerja yang cemerlang. Selain itu, latihan industri memberi peluang kepada pelajar merasai pembelajaran di dunia pekerjaan sebenar supaya dapat mencapai kebolehpasaran yang tinggi selepas tamat pengajian.
Ianya juga memberi pendedahan dan pengalaman kepada pelajar dari segi perkembangan teknologi, komunikasi yang berkesan, amalan kerja berpasukan, polisi, prosedur, peraturan-peraturan serta perspektif dan etika profesional di dalam sesebuah organisasi.

Latihan Industri Manfaat Kebolehpasaran Pelajar
Latihan industri telah menjadi bahagian penting dalam pendidikan tinggi untuk menyediakan pelajar pengalaman praktikal dan meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam dunia pekerjaan. Namun begitu, masih terdapat beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan untuk memastikan kejayaan program latihan industri ini.
Disamping itu, latihan industri bukanlah sesuatu yang baru dan telah menjadi keperluan untuk menyediakan pelajar peluang pembelajaran dalam dunia pekerjaan sebenar. Menurut Dasar Latihan Industri Negara yang diterbitkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi pada tahun 2010, latihan industri ialah penempatan pelajar dalam organisasi untuk latihan amali yang diselia dalam industri terpilih.

Tujuannya adalah untuk memberi peluang kepada pelajar menimba pengalaman praktikal dan meningkatkan kebolehpasaran mereka. Tempoh latihan industri berbeza-beza bergantung kepada kursus pengajian dan universiti, kolej dan sebagainya di mana ia dijalankan.
Sebagai peraturan, tempoh kumulatif kursus latihan industri adalah sekurang-kurangnya minimum selama tiga bulan. Sebagai alternatif, tempoh yang dinyatakan mungkin berbeza bergantung pada organisasi profesional yang diberi kuasa untuk mengeluarkan pensijilan.
Benarkah Pelajar Latihan Industri Tidak Dilindungi di Bawah Akta Kerja 1955?

Akta Kerja 1995 telah menggariskan definisi “pekerja” menurut Jadual Pertama Subseksyen 2(1). Secara dasarnya, “pekerja” adalah seseorang yang telah menandatangani kontrak perkhidmatan dengan majikan. Perkara ini bermaksud pelajar latihan praktikal yang kebiasaannya tidak terikat dengan sebarang kontrak perkhidmatan tidak dilindungi di bawah Akta Kerja 1955.
Selain itu, majikan boleh menawarkan kontrak latihan industri yang bermakna majikan bersetuju untuk melatih seorang pelatih bekerja di bawah servisnya. Walau bagaimanapun, untuk kontrak ini tertakluk di bawah Akta Kerja 1955, kontrak tersebut perlu melebihi tempoh 2 tahun. Maka ianya tidak terpakai bagi pelajar praktikal yang selalunya hanya menjalani latihan industri antara 3 hingga ke 6 bulan sahaja.
Apabila seseorang itu tidak dilindungi oleh Akta Pekerja 1955, ini bermakna dia tidak akan mendapat gaji minimum yang telah ditetapkan oleh Perintah Gaji Minimum 2022 sebanyak RM1,500 sebulan. Bermula 1 September 2019, kerajaan telah bersetuju untuk membayar pelajar latihan praktikal di kementerian, jabatan dan agensi kerajaan sebanyak RM5 sejam.

Dengan kadar ini, seorang pelajar latihan praktikal kerajaan akan menerima elaun sehingga RM900 sebulan bagi tempoh maksimum 90 hari, berbanding RM300 sebulan sebelum ini. Namun begitu, kadar elaun minimum ini tidak boleh diguna pakai bagi syarikat swasta.
Elaun pelajar praktikal di syarikat swasta berbeza bergantung kepada pengurusan organisasi yang berkenaan. Bagi kedua-dua sektor kerajaan dan swasta, pelajar tidak akan dibayar elaun overtime atau lebih masa.
Pelajar latihan praktikal juga tidak mendapat perlindungan lain di bawah Akta Kerja 1995, seperti berkenaan cuti rehat dan tempoh masa bekerja maksimum. Menurut Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), pelajar praktikal tidak diberikan cuti rehat seperti pekerja lain.

Pelajar Latihan Industri Bukanlah Buruh Percuma!
Ada sebilangan syarikat mengambil kesempatan menjadikan pelajar berkenaan sebagai buruh percuma bagi tempoh tiga hingga enam bulan atas alasan mereka telah menyediakan tempat untuk pelajar terbabit menjalani latihan.
Tidak dinafikan bagi sesetengah majikan, tanpa pelajar latihan industri operasi syarikat tetap berjalan dengan lancar. Malah, ada situasi di mana dengan kehadiran mereka merumitkan pengurusan termasuk kekurangan ruang di tempat kerja dan tiada kerja yang sesuai untuk diberikan.
Sebilangan berpendapat, pelajar latihan industri tidak wajar membangkitkan isu upah, elaun atau imbuhan kerana mereka sepatutnya bersyukur diberikan peluang menjalani latihan bagi membolehkan lebih bersedia menghadapi dunia pekerjaan sebenar selepas bergelar graduan kelak.
Namun hakikat hari ini, bukan semua pelajar terbabit datang daripada keluarga berkemampuan untuk kos tambahan bagi menyewa rumah atau bilik, ditambah dengan kos perjalanan dan makan minum yang berbeza berbanding dengan kehidupan sebagai pelajar di kampus yang kebiasaannya jauh lebih murah.

Kerajaan pada masa sama wajar mengkaji semula Akta Kerja 1955 dalam usaha mencapai matlamat yang adil sesama mereka bagi melindungi kebajikan golongan pelajar latihan industri termasuk insurans perlindungan diri jika berlaku kejadian tidak diingini.
Isu ini tidaklah rumit, cuma yang penting jangan ada pihak cuba mengambil kesempatan ke atas ‘buruh-buruh percuma’ ini yang bakal mengisi kepimpinan negara dan mengetuai syarikat-syarikat suatu hari kelak.
Terdapat sebilangan pelajar yang diterima menjalani latihan industri tetapi sebaliknya menjadi buruh percuma kepada syarikat khususnya yang berkait dengan bidang pemasaran, jualan dan beberapa bidang teknikal. Mereka ini ada yang dikerah bekerja selama 10 hingga 12 jam bekerja tanpa sebarang elaun, baik upah atau komisen.
Malah, sebilangan syarikat sememangnya menunggu-nunggu kedatangan pelajar latihan industri ini sehinggakan banyak yang menawarkan secara terbuka di portal-portal mencari pekerjaan mengenai kekosongan bagi pelajar latihan industri dengan tawaran elaun yang tinggi.

Elaun Tanda Penghargaan
Meskipun, perkara pemberian insentif elaun ini belum lagi diwajibkan. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menyarankan untuk pihak industri memberi imbuhan insentif kepada pelatih.
Adalah seharusnya menjadi budi bicara pihak organisasi yang menerima pelatih untuk memberi perhatian ke atas elaun sara hidup sebagai sumbangan bantuan. Ini juga adalah peluang kepada pihak industri bagi menzahirkan tanggungjawab dalam menghargai nilai dan usaha pelatih. Elaun atau imbuhan insentif sebagai tanda penghargaan buat pelajar.

Kerisauan disalah gunakan sebagai tenaga kerja oleh pihak industri sememangnya wujud. Namun perkara yang sama juga adalah dilema untuk pihak industri mencorakkan pelajar yang masih segar dengan teori serta kurangnya kemahiran untuk diberikan tanggungjawab dalam menggalas tugasan.
Penyalahgunaan tenaga pelajar latihan industri adalah kes terpencil. Namun, situasi sebegini bukanlah dipandang enteng sekiranya berlaku, pelajar mempunyai saluran khas untuk membuat laporan kepada pihak institusi pendidikan.
Secara keseluruhan, latihan industri adalah penting dalam mempersiapkan pelajar untuk memasuki alam pekerjaan. Pelajar juga harus cekal dan tidak terlalu manja ketika bekerja, kerana pengalaman itu sentiasa mendewasakan kita. Ilmu dan pengalaman yang bermanfaat itu yang harus dipegang sebagai bekalan pada masa hadapan.
