Rukun Islam mempunyai lima perkara dan zakat merupakan rukun Islam yang ke-empat. Hukum mengeluarkan zakat adalah wajib bagi yang berkemampuan. Zakat mempunyai banyak kelebihan kepada diri sendiri dan juga masyarakat. Mesti anda pernah dengar pepatah yang mengatakan “dalam rezeki kita kadangkala terselit juga rezeki orang lain.” Jadi, dengan mengeluarkan zakat dapatlah kita berkongsi rezeki sesama masyarakat.
Sebelum Itu, Mari Kita Fahami Erti Zakat dan Juga Pendapatan
Untuk mereka yang mempunyai kerjaya mahupun perusahaan sendiri, mereka diwajibkan untuk membayar zakat pendapatan atau perolehan yang disebut sebagai Al-Mal Al-Mustafad dalam Bahasa Arab yang merujuk kepada apa sahaja jenis perusahaan yang membawa hasil kepada pengusahanya sama ada secara tetap atau sekali sekali.
Zakat dari segi bahasa membawa maksud suci dan subur yang diambil dari perkataan زَكَى. Manakala dari segi syarak pula zakat adalah rukun Islam ke-empat yang mewajibkan seorang Muslim mengeluarkan sebahagian daripada hartanya untuk orang yang berhak menerimanya seperti golongan fakir miskin mengikut syarat-syarat tertentu. Harta yang wajib ke atas harta benda untuk dizakatkan adalah seperti emas, perak, wang simpanan, ternakan, tanaman dan perniagaan yang cukup nisab dan haul.
Jenis Harta Pendapatan
“Semua harta ke wajib dibayar zakat?”
Tidak, bukan semua harta diwajibkan untuk dibayar zakat. Para ulama’ sebulat suara membahagikan harta pendapatan kepada empat kategori utama:
1.Harta Penggajian dan Upah Kerja (كَسَبُ العَمَلِ وَالرَوَاتِبِ وَالأُجُورِ)
Harta ini merupakan harta yang diperolehi oleh seseorang dalam tempoh yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak (majikan dan pekerja) hasil bekerja untuk pihak lain seperti pihak kerajaan, swasta atau individu. Sumbangan tenaganya tidak kira dalam bentuk fizikal, idea ataupun kedua-duanya sekali. Sebagai contoh, gaji, upah, tuntutan kerja lebih masa (OT), pampasan, pencen, anugerah dan insentif serta sebagainya.
Harta penggajian dan upah kerja ini adalah segala hasil yang diperolehi dengan sebab pekerjaan atau penggajian.
2.Harta Pemberian atau Sumbangan (العطية)
Manakala, harta pemberian dan sumbangan ini pula merujuk kepada harta yang diperolehi seseorang bukan daripada hasil pekerjaan yang dilakukan tetapi ia merupakan pemberian yang diterima dari individu atau institusi dalam bentuk harta zakawi (baca: harta yang boleh dikenakan zakat). Namun, harta tersebut bukanlah dalam bentuk tetap atau al ‘aqar (baca: harta seperti bangunan dan tanah yang tidak boleh dipindahkan atau digerakkan dari suatu tempat ke tempat yang lain).
Harta pemberian atau sumbangan ini boleh dilihat dari segi pemberian hibah, saguhati, hadiah, pencen pasangan, sedekah, harta pusaka, mahar perkahwinan serta pampasan.
3.Harta Kerja Bebas ( المَهَنُ الحُرَّة)
Bagi harta kerja bebas ini pula, harta tersebut diperolehi dengan melakukan pekerjaan sendiri yang tidak langsung terikat sama sekali dengan pihak lain seperti pekerjaan profesional atau erti kata lain, bekerja sebagai seorang freelancer yang kebanyakan rakyat Malaysia lakukan sekarang. Pekerjaan seperti ini adalah pekerjaan yang bebas kerana tiada kaitan dengan pihak tertentu.
Sebagai contoh, bayaran perkhidmatan konsultansi badan profesional seperti doktor, peguam dan sebagainya. Selain itu, bayaran royalti atau komisen yang diterima hasil penulisan, penerbitan mahupun aktiviti seni yang lain.
4.Harta Al-Mustaghallat (المُسْتَغَلاَّتْ)
Harta terakhir ini adalah harta yang tidak diwajibkan zakat ke atasnya tetapi mendatangkan pulangan atau pendapatan secara sewaan atau jualan. Harta Al-Mustaghallat ini contohnya hasil sewaan rumah atau apa-apa jenis bangunan, sewa kenderaan, kemudahan atau aset yang lain.
Ha, jangan tak tahu pula, hasil yang dikeluarkan oleh haiwan ternakan juga merupakan harta Al-Mustaghallat seperti susu, telur, madu dan apa-apa sahaja hasil yang kita jual dan mendapat pulangan.
Pembayaran Zakat Melalui Potongan Gaji
Kaedah pembayaran zakat ini merupakan satu cara yang dipraktikkan oleh kebanyakan majikan di Malaysia. Pembayaran zakat melalui potongan gaji ini akan dibuat oleh pihak majikan setiap bulan dengan kerelaan hati pekerja.
Kebanyakan pekerja juga lebih memilih pembayaran zakat secara pemotongan gaji kerana menganggap lebih mudah sekiranya pekerja tersebut tidak begitu memahami tentang pembayaran zakat pendapatan atau perolehan ini. Tetapi, kaedah ini juga membawa mudarat sekiranya pihak majikan atau pihak yang bertanggungjawab seperti jabatan sumber manusia dalam sebuah syarikat memandang enteng amanah yang diletakkan ke atas bahu mereka dengan tidak menyalurkan pemotongan gaji pekerja yang sepatutnya dizakatkan.
Kaedah Kiraan Zakat Pendapatan
Tapi, kalau saya nak bayar zakat sendiri tanpa pemotongan gaji, boleh ke?
Jawapannya, boleh tetapi adalah lebih mudah jika terus membuat pemotongan gaji. Lebih tepat, efisien dan semestinya pembayaran zakat akan lebih konsisten dan terjaga rapi. Tetapi, jika anda masih bertegas untuk membuat pembayaran zakat pendapatan sendiri, jom rujuk cara kiraan dibawah.
Kaedah bagi zakat pendapatan ini adalah bersandar kepada jumlah pendapatan kasar dari semua sumber pendapatan yang halal dalam setahun selepas ditolak Had Kifayah iaitu keperluan asasi yang ada pada individu dan juga tanggungannya seperti isteri, anak-anak, ibubapa, adik-beradik dan sebagainya dan kemudiannya didarab dengan 2.5%.
Keperluan asasi yang diambil kira dalam Had Kifayah adalah seperti berikut:
- Perlindungan;
- Makanan dan minuman;
- Pakaian;
- Perubatan;
- Pendidikan; serta
- Pengangkutan
Tetapi, mesti diingatkan bahawa keperluan asasi Had Kifayah ini adalah berdasar Majlis Agama Islam Negeri masing-masing. Nak kiraan lebih mudah? Rujuk sahaja Kalkulator Zakat yang disediakan di setiap laman sesawang Majlis Agama Islam Negeri.
Hikmah Zakat Pendapatan
- Penyucian diri dan harta pembayar zakat dari sifat riak dan takabbur serta sifat-sifat mazmumah yang lain dalam memperolehi kekayaan.
- Memudahkan golongan hartawan untuk beribadat dengan berkongsi sebahagian daripada harta mereka dalam bentuk zakat.
- Memberi peluang dan jalan kepada masyarakat dalam menguruskan kewangan dan ekonomi berlandaskan syarak dan mendapatkan keredaan Allah.
- Menanamkan rasa bertanggungjawab, belas kasihan serta menjauhkan dari rasa iri hati sesama masyarakat.
Kiraan Lebih Tepat dengan Starz Excellence!
Sebelum anda ketik butang keluar, nak tahu cara lebih mudah untuk kiraan zakat pendapatan ini?
Jom rujuk dengan kami di Starz Excellence kerana kami menawarkan konsultansi kewangan yang dapat menjamin kestabilan organisasi anda serta memudahcara urusan kewangan syarikat anda.
Hubungi kami segera di Starz Excellence!